Transkrip episod
Dari Krisis Adat Ke Pembubaran DUN
Membedah Krisis Adat Negeri Sembilan
- Siri
- Krisis Nogori
- Episod
- 1
- Panjang
- 2 min baca
- Lampiran
- 0
Apa yang bermula sebagai pertikaian adat di sebuah luak, kini meletup menjadi krisis perlembagaan dan politik terbesar dalam sejarah moden Negeri Sembilan. Pertembungan kuasa ini bukan sahaja mengheret institusi diraja dan Menteri Besar ke kancah polemik, malah ia berkesudahan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri secara mengejut. Mari kita telusuri kronologi sebenar di sebalik krisis ini.
Benih krisis ini ditanam di Luak Sungai Ujong. Pada 1 April 2025, badan adat luak iaitu Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu telah mengadakan satu kerapatan bersejarah di Telaga Undang. Keputusan mesyuarat tersebut sangat mengejutkan.
Susulan keputusan drastik itu, pihak berkuasa adat menegaskan bahawa kuasa Mubarak telah dilucutkan secara rasmi pada bulan berikutnya, sebelum ia diangkat ke peringkat tertinggi istana.
Selepas hampir setahun Mubarak dipecat, akhirnya ia diumumkan secara terbuka pada 26 Mac 2026. Kemuncaknya berlaku pada 17 April 2026 apabila Dewan Keadilan dan Undang, DKU, menasihatkan Mubarak untuk menerima keputusan Waris beliau sendiri. Nasihat ini bersandarkan 33 sebab yang dibentangkan. Mengikut Perkara enam belas Perlembagaan Negeri, nasihat ini adalah muktamad. Namun, dua hari kemudian, kem penentang melancarkan serangan balas. Dalam satu siaran langsung di Facebook, kumpulan Undang Yang Empat mengejutkan negara apabila cuba mengisytiharkan pelucutan Tuanku Muhriz dari takhta.
Apa yang ironinya? Pengisytiharan pelucutan takhta itu dibacakan oleh Mubarak sendiri, individu yang sudah setahun lebih tiada kelayakan sebagai Undang kerana dipecat Waris sendiri. Dari sudut perundangan, proklamasi ini adalah terbatal. Perkara sepuluh Perlembagaan Negeri menetapkan bahawa pelucutan Yang di-Pertuan Besar memerlukan siasatan penuh, tetapi siasatan itu tiada. Kerana tiada sebab yang kukuh itu juga, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun enggan menandatanganinya. Proklamasi itu menjadi tidak sah dan Mubarak diarah mengosongkan kediaman rasminya. Bagaimanapun, ketegasan Menteri Besar ini mencetuskan krisis politik apabila empat belas ahli politik Barisan Nasional bertindak menarik sokongan daripadanya.
Hilang majoriti pentadbiran, Menteri Besar tiada pilihan selain memohon pembubaran DUN pada 4 Jun 2026, bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat. Persoalan paling besar: Siapa yang memperkenankan pembubaran ini? Jawapannya, Tuanku Muhriz. Hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya menerima titah pembubaran tersebut adalah bukti mutlak yang menutup segala spekulasi. Ia mengesahkan tanpa ragu bahawa Tuanku Muhriz kekal diiktiraf sebagai pemerintah Negeri Sembilan yang sah. Kedaulatan negeri bergantung kepada paksi perlembagaan, bukan semata-mata pada pengisytiharan di media sosial. NOKTA.
Transkrip disalin terus dari skrip penerbitan episod ini. Angka dieja penuh kerana skrip itu ditulis untuk dibaca kuat.
Tonton di TikTok