Transkrip episod
Diiktiraf Tapi Tak Sah?
Membedah 3 Kecacatan Asas Pelantikan Rahim Rembau
- Siri
- Krisis Nogori
- Episod
- 12
- Panjang
- 2 min baca
- Lampiran
- 0
Kali ini kita mahu membedah kecacatan pelantikan Undang Rembau yang dulu, iaitu Haji Abdul Rahim Yassin. Pada sembilan belas April lalu, beliau telah menggemparkan negara apabila berani menyertai komplot cuba memecat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Persoalannya, dari manakah beliau mendapat mandat untuk melakukan penderhakaan tersebut? Tahukah anda, di daerah asalnya sendiri iaitu di Luak Rembau, pelantikan beliau telah ditolak secara rasmi oleh majoriti ketua-ketua adat sejak tahun dua ribu dua puluh lima lagi.
Mari kita bedah kecacatan asas pelantikan beliau berdasarkan dokumen Deklarasi Buapak dan Ibu Soko Delapan Kampung ini. Kecacatan pertama, beliau ditolak oleh peringkat akar umbi. Mengikut perlembagaan adat di Rembau, kuasa memilih calon Undang terletak pada muafakat lapan orang Buapak. Daripada lapan orang Buapak tersebut, tujuh daripadanya telah bermuafakat menolak Abdul Rahim, dan sebaliknya memilih calon dari Kampung Tanjung iaitu Haji Hassan Abdul Hamid. Malah, keputusan menolak Rahim ini turut direstui oleh tujuh daripada lapan orang Ibu Soko. Dengan penolakan majoriti sebesar ini, bagaimana sebuah pelantikan itu boleh dianggap sah?
Kecacatan kedua adalah yang paling memalukan. Haji Abdul Rahim mendakwa beliau adalah wakil sah dari Kampung Pulau. Tetapi, tahukah anda bahawa Ibu Soko Tua Waris Perut Kampung Pulau sendiri, Puan Rashimah Abu Bakar, telah mengeluarkan kenyataan secara terbuka bahawa pemilihan Rahim adalah cacat dan tidak mengikut aturan musyawarah waris? Kecacatan ketiga terletak pada proses pemasyhuran. Rahim dimasyhurkan pada dua puluh dua Ogos dua ribu dua puluh empat oleh pemegang jawatan Dato' Perba, iaitu Abdul Razak Mohd Yassin. Namun, berdasarkan dokumen adat, beliau sebenarnya telah pun diberhentikan dari jawatannya pada tujuh Ogos, iaitu dua minggu sebelum majlis pemasyhuran itu berlaku. Orang yang memasyhurkannya sudah pun hilang kuasa.
Berdasarkan ketiga-tiga kecacatan logik ini, iaitu ditolak oleh Buapak, ditolak oleh Ibu Soko kampungnya sendiri, dan dimasyhurkan oleh individu yang sudah dipecat, pelantikan Abdul Rahim Yassin tidak lebih daripada satu ilusi. Tidak hairanlah mengapa pihak istana dan Kerajaan Negeri akhirnya menzahirkan Haji Hassan sebagai Undang Rembau yang sah pada dua puluh tujuh Jun lalu. Jadi, kembali kepada krisis penderhakaan sembilan belas April. Tidakkah pelik apabila seorang individu yang kedudukannya sendiri tidak sah dan ditolak oleh anak buahnya, tiba-tiba mempunyai keyakinan untuk cuba melucutkan seorang raja yang berdaulat? NOKTA.
Transkrip disalin terus dari skrip penerbitan episod ini. Angka dieja penuh kerana skrip itu ditulis untuk dibaca kuat.
Tonton di TikTok