Transkrip episod
Kantoi Surat Kosong
Bukti Drama 'Yang di-Pertuan Besar Melaka' Hanya Sia-Sia
- Siri
- Krisis Nogori
- Episod
- 11
- Panjang
- 2 min baca
- Lampiran
- 0
Akhirnya cybertrooper kumpulan Yang di-Pertuan Besar palsu ini sendiri mengakui bahawa surat pemecatan Tuanku Muhriz sebenarnya adalah satu dokumen kosong yang tidak berasas. Jika anda rasa kami memanipulasi dokumen ini, mari kita baca pengakuan terbaru mereka sendiri iaitu Nordanial Hamzah. Nordanial dengan jelas memuat naik teks dokumen tersebut dan menulis tajuk bersaiz besar mengakui bahawa ia adalah surat yang tidak ditandatangani oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun. Pengakuan ini sekali gus membuktikan bahawa istiadat melantik Yang di-Pertuan Besar kedua belas yang baharu secara haram di sebuah hotel di A Famosa Melaka pada Jun lalu, tidak lebih daripada satu pementasan drama yang sia-sia.
Mari kita kaji asas kepada penderhakaan ini. Syarat utama untuk melantik Yang di-Pertuan Besar baharu adalah, anda mesti melucutkan Yang di-Pertuan Besar yang sedia ada terlebih dahulu. Untuk mencapai tujuan ini, kumpulan Undang tersebut telah merangka dokumen Pengisytiharan Pemecatan Tuanku Muhriz pada sembilan belas April dua ribu dua puluh enam. Namun, mereka terlupa satu fakta perlembagaan. Di bawah Perkara Sepuluh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, pelucutan ini tidak akan sah tanpa siasatan dan tandatangan pengesahan daripada Menteri Besar. Sila lihat dokumen mereka sendiri, ruang tandatangan itu kosong seratus peratus.
Seperti yang telah diakui secara terbuka di awal tadi, hakikatnya Menteri Besar enggan melayan komplot ini. Malah, selepas Pilihan Raya Negeri dan kepimpinan bertukar tangan kepada Menteri Besar baharu, Dato' Seri Ismail Lasim, dokumen ini tetap tidak dilayan dan kekal menjadi sekeping kertas kosong yang tidak laku. Kedua-dua pemimpin kerajaan negeri ini tahu membezakan antara kedaulatan adat sebenar dengan percubaan merampas kuasa yang tidak mengikut lunas perlembagaan.
Logiknya sangat mudah. Jika surat pemecatan itu tidak pernah ditandatangani dan tidak pernah sah di sisi undang-undang, bermaksud Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah. Jadi, siapakah sebenarnya yang mereka lantik di hotel A Famosa Melaka itu? Keseluruhan istiadat lantikan tersebut hanyalah satu sandiwara yang memalukan, dibina di atas sekeping kertas yang tiada nilai perundangan. Penderhakaan mereka runtuh sebelum ia sempat bermula. NOKTA.
Transkrip disalin terus dari skrip penerbitan episod ini. Angka dieja penuh kerana skrip itu ditulis untuk dibaca kuat.
Tonton di TikTok