Transkrip episod
Memaksa Menteri Besar Pecat Raja?
Bongkar Taktik Manipulasi Di Sebalik Penderhakaan Adat
- Siri
- Krisis Nogori
- Episod
- 10
- Panjang
- 2 min baca
- Lampiran
- 0
Biasa kita dengar ahli politik diseret ke mahkamah atas salah laku. Tetapi pernahkah anda dengar, seorang Menteri Besar cuba dipaksa melalui perintah mahkamah untuk memecat rajanya sendiri? Dalam sejarah moden, kita jarang melihat sebuah institusi diraja cuba diruntuhkan menggunakan mandamus. Tetapi itulah plot penderhakaan terbaharu di Negeri Sembilan, di mana segelintir pihak rakus sanggup melacurkan Adat Perpatih demi memuaskan nafsu politik dalang tertentu.
Pada 17 Julai lalu, satu perintah mandamus telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi. Tujuannya hanya satu, iaitu untuk memaksa Menteri Besar menyingkirkan Tuanku Muhriz dari takhta. Tindakan memaksa dari atas ini adalah satu penderhakaan yang terang-terangan melanggar prinsip alur dan patut dalam Adat Perpatih, yang menuntut ketaatan kepada raja yang berkeadilan. Dalang yang menunggang krisis dan memanipulasi kebenaran ini ibarat musuh dalam selimut. Mereka adalah spesis pemimpin yang pakar memutar belit fakta, memfitnah, dan merosakkan keharmonian demi agenda tersembunyi.
Golongan penderhaka ini lupa pada satu fakta penting. Adat Perpatih adalah sistem demokrasi tertua yang mengalir dari bawah ke atas. Kedaulatan bermula dari Anak Buah, naik ke Buapak, Lembaga, Undang, sehinggalah ke Yamtuan. Anda sama sekali tidak boleh melengserkan seorang raja menggunakan paksaan perintah mahkamah dari atas. Walaupun krisis ini mengheret negeri ke kancah Pilihan Raya Negeri, ia membawa satu hikmah yang sangat besar. Ia menjadi medan pembersihan menyeluruh. Hari ini, luak Sungai Ujong dan Rembau telah diputuskan dengan penyandang Undang yang sah, dan langkah pembersihan ini bakal menyusul di Jelebu dan Johol. Di dalam Adat Perpatih ada penekanan mengenai hal ini di dalam teromba. Adat rumah adat tuanya. Adat kampung adat penghulunya. Adat negeri adat rajanya. Tua rumah membawa hikmah. Tua penghulu menghapus malu. Tua raja tegak daulatnya.
Kini seluruh negara, termasuklah rakan-rakan dari bangsa lain sedang memerhati gelagat perkelahian ini dengan rasa meluat. Pergerakan penderhakaan dan mandamus ini pasti menelan belanja pendanaan yang besar. Persoalannya, apakah end game sebenar mereka? Tidakkah pengamal adat ini berasa malu membiarkan diri mereka terus diperkudakan? Di bawah payung pemerintahan Tuanku Muhriz yang penuh berkeadilan dan berwibawa, apa lagi sebenarnya yang kalian mahu? Jangan biarkan manipulator berniat jahat ini meranapkan warisan kita. NOKTA.
Transkrip disalin terus dari skrip penerbitan episod ini. Angka dieja penuh kerana skrip itu ditulis untuk dibaca kuat.
Tonton di TikTok